Kemarahan kita kepada seseorang akan memudaratkan kita sendiri lebih daripada orang yang kita marahkan. Justeru, memaafkan adalah langkah yang paling baik – bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri. Ertinya, memaafkan orang lain samalah seperti memaafkan diri sendiri. Diri kita akan menjadi lebih tenang, ceria dan stabil apabila memaafkan 'musuh-musuh' kita.
Menurut Agama kemarahan berasal daripada syaitan, dan syaitan berasal daripada api. Api itu panas dan membakar. Bahangnya akan menyebabkan pertimbangan hati, akal dan perasaan kita tidak seimbang – sepertimana molekul cecair atau gas apabila dipanaskan. Apabila kita marah degupan jantung, aliran darah, retina mata dan rembesan hormon berubah daripada biasa. Muka menjadi merah, telinga menjadi panas, gigi serta bibir mengetap…Menakutkan?
Oleh itu, benarlah seperti yang dianjurkan oleh Imam Ghazali apabila seseorang itu marah
"Pandang betapa hodoh wajahmu di muka cermin!"
Namun, siapakah yang tidak pernah marah? Marah itu sebahagian daripada sifat manusia. Tanpa marah, manusia bukan manusia lagi. Justeru, marah itupun satu anugerah. Dengan adanya sifat marah, timbullah semangat mempertahankan diri, kel
uarga bahkan agama.
Ringkasnya, marah itu ada yang terpuji, ada yang dikeji. Marah yang terpuji bila sesuai pada tempat, sebab dan keadaannya. Bila agama dikeji, kita mesti marah. Ketika itu jika kita tidak marah, Allah akan marahkan kita. Sebaliknya, bila diri peribadi kita yang dikeji, dianjurkan supaya bersabar. Ini soal personal. Memaafkan, lebih utama. Sayangnya, hal yang sebaliknya selalu berlaku. Bila agama dikeji, kita selamba. Bila diri dikeji, marah kita seakan menggila!
Bagaimana kita boleh meneladani Sayidina Ali r.a. yang masih mampu membezakan jenis marahnya di saat kritikal? Ketika dia diludah oleh musuhnya sewaktu hendak memancung kepala musuh tersebut, Sayyidina Ali tiba-tiba berhenti justeru merasakan marahnya bukan lagi atas semangat jihad fisabilillah tetapi oleh kebencian melulu yang lebih bersifat personal. Apabila diri dikeji bagai telitilah, muhasabahlah, apakah kejian itu sesuatu yang benar dan tepat? Jika benar dan tepat, kejian itu mesti dilihat sebagai 'teguran' daripada Allah melalui lidah manusia. Koreksi dan perbaikilah diri segera.
Namun sekiranya kejian itu tidak benar, apa hendak dirisaukan?
Bukan manusia yang menentukan mudarat dan dosa. Biarkan ia berlalu, jangan takut kepada orang yang mencerca! Namun itu tidak bermakna kita jumud hingga merelakan diri untuk sewenang-wenaangnya diperkotak-katikkan. Kesabaran perlu diiringi kebijaksanaan. Tabah bukan mendedahkan diri untuk difitnah. Tanganilah, hadapilah, kejian yang salah dengan cara yang betul. Hadapi emosi yang panas berapi dengan kepala sedingin salji.
Jadikanlah kemarahan itu sebagai 'pekerja' dan diri kita sebagai 'majikan'nya. Biarlah marah yang bekerja untuk kita, bukan kita yang bekerja untuknya.
Jadi, mula-mula, tuluskanlah marahmu hanya kerana Allah semata. Kemudian luruskanlah marah itu pada jalan yang dibenarkan-Nya sahaja. Kemudian uruskanlah marahmu mengikut kadar dan batasnya…
Jadikanlah marah umpama api di dapur hatimu. Panasnya, biar berpadanan. Jangan terlalu kecil, hingga tindakanmu kelihatan 'mentah'. Jangan pula keterlaluan hingga peribadimu hangus terbakar!
Nota kaki. (P/s)
1. Salam Maulidur Rasul buat semua. Ingat, pemaaf adalah salah 1 daripada sifat terpuji Nabi kita.
2. Dulu saya seorang yang agak cepat marah. Kini, belajar untuk menjadi lebih cool, dan tenang.
3. Tiada manusia yang sempurna, terkasar bahasa, tersalah pilih kata, tu biasa lah. Yang paling penting apa yang kita pelajari daripada kesilapan itu. Saling memperbaiki kesilapan.
4. Ayah saya pernah berkata, jika rasa marah bacalah Al-Quran,
5. Cara meluahkan kemarahan? Berbicaralah dengan tuhanMu dan jika mampu, suarakanlah kemarahan itu pada orang dan tempatnya dengan cara yang tepat dan betul. Jangan terus disimpan, pasti suatu hari nanti akan 'meletup' jua!
6. Suka membaca cara pengurusan kemarahan daripada Cikgu Fuad.
7. Kalian ada pengalaman meredakan marah orang yang rapat dan 'disayangi'?
3 comments:
yer....betul tu kwn, kite sepatutnye yg control marah, bukan marah yng control kte, bile marah control kte, mknenye samelah spt syaitan yg menguasai kte, then, kte pun asyik nk hangin, aku pun nk blaja control mrh la ;-)
Salam Maulidur Rasul
kita kena pndai control marah kita...;-)
bila bc entri nih.terasa terkena btg idung sendiri.ehheeh.kalau ecah nak marah time berdiri kite kena duduk.sllu wt cmtuh ;)
Post a Comment