Nov 29, 2008

Meninggal ketika main badminton

Meninggal ketika main badminton

Datuk Razali Ismail

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, ninggal dunia selepas rebah dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, petang semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika Razali menyertai permainan badminton bersama peserta Konvensyen Nasional Kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) serta kakitangan institut berkenaan.

Kelmarin, Razali, 59, menutup konvensyen berkenaan dan pagi semalam Allahyarham ke Alor Gajah, Melaka untuk menghadiri Konvensyen Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti sebelum ke IAB semula bagi menyertai permainan badminton.

Jenazah Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dibawa ke Hospital Bentong, kira-kira jam 8 malam tadi untuk dibedah disiasat.

Isteri Allahyarham, Datin Nooraini Lob Yusoff tiba di IAB sebaik dimaklumkan pegawai kementerian berkenaan.

Allahyarham meninggalkan lima anak.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika dihubungi menyifatkan kematian Razali sebagai satu kehilangan besar bukan saja kepada keluarganya, malah generasi muda, guru, warga kementerian dan negara.

"Sukar untuk saya gambarkan rasa sedih atas kehilangan seorang yang cukup ikhlas, jujur, komited dan profesional dalam melaksanakan amanah memimpin Kementerian Pelajaran dan kakitangannya.

"Kita semua tidak akan lupa pengorbanan Allahyarham kepada agama, bangsa dan tanah air," katanya yang turut bergegas ke Hospital Bentong bagi membantu menguruskan jenazah.

Jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Jalan Kenanga, Kuala Terengganu sebelum dikebumi.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, Allahyarham mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 628 undi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, ketika dihubungi berkata pihaknya mengambil tindakan susulan selepas menerima makluman rasmi Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Mengikut prosedur, pilihan raya kecil kawasan berkenaan akan dijalankan dalam masa 60 hari daripada tarikh kekosongan kerusi itu," katanya.

--------------------------------------------------------------

Datuk Razali, ermm... minggu lepas kami(Pekomperi) baru arak dan kompangkan beliau di Putrajaya..kami buat show (angklung+gamelan) dihadapan beliau..tup3x.. dapat khbr semalam die telah tinggalkan dunia ini menuju alam yg 1 lagi...wahai diri..mati itu pasti.. tiada sape yg mampu menolong lgi.. melainkan iman yg bulat pd ALLAH yg hakiki..jazakaALLAH..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...