Nov 4, 2008

Bilakah berakhirnya hayat matahari?


Matahari adalah sebuah bintang dan kejadiannya bermula lebih kurang 8 hingga 10 billion tahun selepas berlaku Big Bang, iaitu lebih kurang 5 bilion tahun dahulu. Matahari adalah 109 kali lebih besar daripada bumi dan berkemungkinan besar, ia lahir kesan daripada gelombang kosmik (shockwaves) yang berlaku selepas meledaknya sebuah bintang raksasa. Ledakan bintang besar ini dipanggil supernova dan ia melahirkan gumpalan gas yang dikenali sebagai solar nebula. Solar nebula mengandungi 98 peratus hidrogen dan helium, dan 2 peratus unsur-unsur lain yang terhasil daripada proses kehancuran bintang-bintang di kosmos.

Matahari mempunyai 74 peratushidrogen dan 25 peratus helium, berada di tengah-tengah sistem suria dan para saintis menganggapnya sebagai bintang generasi ketiga (third generation star). Bumi, planet-planet, asteroid, meteoroid dan komet mengelilingi matahari mengikut masa yang Allah tetapkan.

Proses nuklear yang berlaku dalam matahari melahirkan cahaya matahari (sunlight). Cahaya ini diibaratkan seperti nadi kehidupan bagi bumi kerana hampir kesemua jenis hidupan di bumi ini memerlukannya dan memanfaatkannya melalui proses fotosintesis.

Walau bagaimanapun matahari mempunyai jangka hayatnya. Sesetengah saintis meletakkan hayat matahari sebagai 10 bilion tahun. Selepas itu ia akan berkubur. Dalam surah at-Takwir ayat 1 Allah menyatakan, “Dan matahari semasa ia digulung (kuwwirat)”. Perkataan yang penting untuk dibahaskan dalam ayat ini adalah ‘kuwwirat’. Rata-rata ulama mentafsirkannya sebagai ‘zahabat’ yang bermaksud ‘pergi atau menghilang’, dan Imam an-Nasafi mentafsirkannya sebagai ‘hilang cahayanya’. Ia menjelaskan apabila berlaku Hari Kiamat alam ini seolah-olahnya digulung. Ia juga menjelaskan matahari semasa berada dipenghujung hayatnya akan hilang cahayanya.

Sebenarnya kestabilan matahari, seperti bintang-bintang yang lain, bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkan olehnya. Tenaga ini terhasil melalui proses nuklear yang melibatkan hidrogen bertukar menjadi helium di bahagian dalam matahari (core). Selepas berbilion tahun berlalu, proses ini akhirnya terhenti disebabkan matahari kehabisan hidrogen dan dengan itu ia menjadi tidak stabil.

Keadaan ini menyebabkan bahagian dalam matahari (core) menguncup ( contracts) dengan menghasilkan suhu yang tinggi. Selepas masa berlalu suhu di bahagian luar matahari menurun dan dengan itu pudarlah cahayanya. Keadaan ini selari dengan tafsiran Nasafi berhubung perkataan kuwwirat dalam ayat Quran yang disebutkan sebelum ini. Akhirnya bahagian luar matahari ini bertukar menjadi gumpalan gas berbentuk asap dan terus terpisah daripada bahagian dalamnya. Dengan lahirnya gumpalan gas berbentuk asap ini jadilah ia sebuah planetary nebula. Bahagian dalam matahair (core) pula bertukar menjadi objek yang dikenali sebagai white drawfs atau ’si kenit putih’. Dengan itu tamatlah riwayat hidup matahari. Wallahua’alam.

[Sumber: Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin, 2007]

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...