Aug 19, 2010

Boleh Istiqamah?


Kelmarin.
Tazkirah sebelum Tarawih berhampiran rumah sewa saya.

Mafhum hadis Nabi S.A.W

Aku bimbangkan umat aku akan menyembah ramadhan bukannya menyembah ALLAH.


Huraian.

Maksud daripada hadis tersebut ialah, Nabi risaukan umatnya(kita semua)hanya beribadat, melipat gandakan amalan, mentaati perintahNYA dan menjauhi laranganNYA pada bulan Ramadhan sahaja.

Sedangkan kewajipan untuk mentaati perintahnya adalah selagi hayat dikandung badan.

Dan sememangnya keistimewaan bulan Ramadhan segala amalan diperlipatgandakan. Namun, ia bukan bermakna apabila kita 'banyak beramal' pada bulan ini pada bulan-bulan lain kita bebas melakukan dosa. Atau dengan kata lain, amalan pada bulan ini sudah cukup untuk meng'cover'
amalan pada bulan lain. Silap sama sekali.


-Jaga aurat bukan pada Ramadhan sahaja, teruskanlah hingga bulan-bulan lain.
-Jaga percakapan bukan pada Ramadhan sahaja, teruskanlah hingga bulan-bulan lain.
-Jaga pandangan bukan pada Ramadhan sahaja, teruskanlah hingga bulan-bulan lain.
-Jaga perbuatan bukan pada Ramadhan sahaja, teruskanlah hingga bulan-bulan lain.

Jadi, marilah kita sama-sama Istiqamah dalam beramal.
Oh! Ya Rabb, bantulah kami untuk menjadi hambaMu yang taat.

Aug 15, 2010

Rancang Wang dari Sekarang



Hidup mesti merancang!

Itulah perkara utama yang Pakdi tekankan dalam buku Rancang Wang Dari Sekarang menurut pandangan peribadi saya. Sebagai pengenalan, Pakdi adalah founder dan pengasas kepada Komuniti BicaraJutawan.Com. Lanjut mengenai beliau boleh terus ke blog beliau.

Puas dan berbaloi.

Itulah yang dapat saya rasakan usai membaca buku ini. Setelah beberapa kali mengkhatamkan bacaan, ulasan yang dapat saya berikan inilah buku asas yang wajib untuk dimiliki oleh sesiapa yang ingin celik menguruskan kewangan. Apabila asasnya sudah kuat, barulah mudah untuk pergi ke langkah seterusnya mengikut matlamat kewangan masing-masing.

Umpama membina sebuah rumah. Jika ingin membina rumah yang kukuh perlu kepada konkrit dan batu asas yang kukuh. Jika batu asasnya goyah, pasti rumah yang kukuh tidak dapat terbina. Begitu juga dengan ilmu pengurusan kewangan, jika tiada asas yang betul bagaimana ingin mengurus?

.

.

Buku ini mempunyai 27 subtopik dengan menggunakan bahasa yang mudah, santai, dan dekat dengan pembaca.

Pada bab awal, Pakdi membuka minda pembaca dengan kisah Azman yang dibelenggu masalah tidak cukup duit dan kisah yang dibawakan sememangnya adalah realiti kebanyakan masyarakat kita pada hari ini.

Seterusnya, pembaca dikisahkan tentang mengapa penting menjadi orang berharta.

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (bagi menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia ALLAH, serta ingatlah akan ALLAH banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu Berjaya (di dunia dan di akhirat)

(al-Jumuah:10)

Menurut Pakdi, harta kekayaan adalah suatu ujian dan tidak layak untuk seseorang menjadi seorang yang zuhud, qana’ah dan dermawan sekiranya belum diuji dengan harta terlebih dahulu.

Pembaca juga didedahkan mengenai perbezaan ketara antara system kewangan Islam dan konvensional dengan ditampilkan contoh yang dekat dengan kita iaitu melalui transaksi pembelian kereta. Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan haram itu jua jelas.

Dan ALLAH menghalalkan perniagaan serta mengharamkan riba.

.

Dalam buku ini juga, Pakdi banyak membawa analogi kisah daripada surah Yusuf sebagai panduan asas pengurusan kewangan kepada umat Islam keseluruhannya.

Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tanam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

(Surah Yusuf:47)

Perkara paling asas yang Pakdi tekankan dalam penulisan beliau adalah kita perlu mula menyimpan bermula daripada gaji pertama lagi. Sedia maklum, hendak bermula memerlukan kekentalan dan pengorbanan ‘hawa berbelanja’. Alah bias tegal biasa kan? Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. insyaALLAH, kita semua pasti boleh mulakannya.

Selain itu, melalui anologi kisah bahtera Nabi Nuh, pembaca dinasihatkan agar sentiasa bersiap sedia menghadapi hari yang ‘tak selalu cerah’. Pakdi juga mengingatkan agar dalam menyimpan perlu sentiasa sabar dan kuat semangat. Untuk sentiasa bersemangat, sememangnya peranan pasangan yang saling memahami amat-amat diperlukan. Merancang berpasangan tentunya lebih baik daripada merancang berseorangan. Seterusnya dengan perancangan yang baik dan rapi, apabila berlaku ‘gelora’ atau musibah kita pasti akan lebih bersedia!

.

Saya amat tertarik pada perbincangan daripada Pakdi pada Bab 6 (bab kegemaran saya) – Apa yang mesti kita lakukan selepas dapat gaji?

Sebagai seorang pelajar yang bakal bekerja, bab ini banyak membantu saya membuat persedian menghadapi gaji pertama saya kelak.

Pada bab ini, Pakdi menyarankan 2 perkara iaitu:

1.Buat simpanan sebelum mula berbelanja.

2.Banyakkan zakat dan derma.

Saya percaya, kebanyakan daripada kita sudah biasa diajar daripada kecil untuk membuat simpanan setelah selesai membuat perbelanjaan. Sebagai contoh, pernah saya tulis disini sewaktu zaman persekolahan dulu saya sendiri diajar oleh ibu bapa saya untuk menyimpan duit perbelanjaan sekolah setelah selesai berbelanja. Kalau ada baki wang belanja, adalah simpanan.. kalau tiada baki, maka kosonglah tabung saya. Tanpa diisi.:)

Mengenai memperbanyakkan zakat dan derma, sebagai umat Islam yakinlah zakat dan derma memang menyuburkan harta. Perkara yang paling penting dalam rezeki adalah keberkatan. Dan ianya dapat ditemui melalui zakat dan derma. insyaALLAH, dengan cara ini kita cukup dengan sedikit berkat dengan banyak.

.

Secara keseluruhannya, segala ilmu yang Pakdi kongsikan amatlah bernilai. Selain daripada apa yang saya sebutkan diatas, buku ini juga turut menceritakan mengenai konsep asas aset vs liabiliti, perkara yang perlu diketahui sebelum membeli kereta, kepentingan memiliki pasangan yang mempunyai matlamat kewangan yang sama, konsep asas cashflow dan capital gain serta banyak lagi yang dapat dipelajari daripada senaskhah buku ini.

Semoga dengan terbitnya buku ini, menjadi pendorong kepada terbitnya lebih banyak buku mengenai pengurusan kewangan yang sesuai dengan 'iklim' masyarakat Malaysia.

Bagi yang belum bekerja (pelajar seperti saya) marilah kita sama-sama mencari ilmu sebanyak-banyaknya. Sebagai permulaan, adalah baik jika kita (pelajar seperti saya) dapat mendisiplinkan diri dengan menulis setiap perbelanjaan harian supaya mudah untuk memantau kemana mengalirnya wang kita.

Buat semua, Selamat merancang daripada sekarang!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...